
Kawalan di JW Marriot dan Ritz Carlton adalah yang paling ketat di Jakarta dan mungkin antara yang paling ketat di dunia. Dengan pelbagai alat canggih serta jumlah pengawal keselamatan yang begitu banyak kadang-kadang menakutkan pengunjung di kedua-dua hotel berkenaan.
Ramai juga yang berpendapat hotel yang paling selamat di Jakarta ialah kedua-dua buah hotel itu, kerana tidak mungkin pengganas berani menyerang sekali lagi lokasi sama, yang keselamatannya ditingkatkan berkali ganda. Kenderaan keluar masuk kawasan hotel bukan sahaja diperiksa penumpang dan tempat menyimpan barang, bahkan enjin kenderaan turut diperiksa. Dan di setiap sudut pasti terdapat pengawal keselamatan yang tegap dan kemas memerhati gerak-geri tetamu. Tetapi itulah pengganas mereka sentiasa memikir cara untuk mengelirukan pihak berkuasa. Pengeboman itu dikatakan telah menginap selama seminggu di Hotel JW Marriott iaitu di bilik 1808. Di bilik itulah ditemui bom yang belum meletup. Mungkin bom itu gagal diletupkan atau ditemui terlebih dahulu oleh pasukan polis sebelum ia meletup.
Di bilik 1808 itulah bom berkenaan dipercayai dipasang dan penghuni bilik itu iaitu Nurdin A. Dan kini merupakan suspek utama. Pengganas memilih bilik 1808 dijadikan markas dan tarikhnya pula 1707 sebagai hari melaksanakan serangan. Bagaimanapun tidak diketahui apakah erti nombor-nombor tersebut dan apakah motif serangan dilakukan. Setakat ini belum ada pihak yang dikenal pasti terlibat dalam serangan tersebut, tetapi media asing terus menyalahkan pergerakan pengganas antarabangsa Al-Qaeda dan serpihan Jemaah Islamiah yang masih wujud di Indonesia, lantaran itu juga nama rakyat Malaysia, Nordin Mohd Top turut timbul mendalangi serangan itu. Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pula seolah-olah memberi gambaran kejadian itu mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Presiden yang baru berlangsung. Pada sidang akhbar pada hari Jumaat berdarah itu, Susilo mendedahkan terdapat rancangan kumpulan pengganas yang mahu menjadikan beliau sebagai sasaran. Kumpulan itu bukan sahaja berlatih menembak sasaran foto wajahnya, bahkan berikrar tidak akan membenarkan Susilo menjadi Presiden Indonesia. Bagaimanapun tuduhan itu segera dibantah oleh lawan Susilo iaitu Jusuf Kalla-Wiranto dan Megawati-Prabowo. Kedua-dua pasangan itu bukan sahaja mengutuk serangan tersebut, bahkan turut menafikan sekeras-kerasnya terlibat dengan sebarang kegiatan pengganas. Siapa juga yang melakukan serangan itu memang tidak mahu melihat Indonesia aman, tenteram dan maju. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini ekonomi Indonesia berkembang pesat dan ketika negara-negara lain di rantau Asia Tenggara mengalami pertumbuhan negatif, ekonomi Indonesia langsung tidak terjejas dengan krisis ekonomi dunia, bahkan terus berkembang positif. Akibat kejadian Jumaat lalu, entah berapa lama lagi Indonesia akan mengambil masa untuk memulihkan keyakinan pelabur asing dan pelancong asing untuk datang kembali ke negara republik itu.
0 comments:
Post a Comment