CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label Rungus - Wikipedia. Show all posts
Showing posts with label Rungus - Wikipedia. Show all posts

18 September 2009

POLITIK SABAH..!!!




Sebagai sebuah negeri di Persekutuan Malaysia, Sabah mengamalkan sistem demokrasi. Pilihan raya umum diadakan setiap lima tahun untuk memilih kedua-dua wakil negeri dan wakil negara.
Kerajaan negeri sekarang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN), sebuah parti campuran yang terdiri daripada pelbagai parti etnik utama, iaitu UMNO, Sabah Progressive Party (SAPP), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organization (UPKO), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Satu ciri daripada politik Sabah yang luar biasa ialah dasar yang diasaskan oleh Barisan Nasional pada 1994. Jawatan Ketua Menteri digilir antara parti-parti komponennya setiap dua tahun, tidak mengira mana satu parti yang berkuasa pada sesuatu masa. Oleh sebab itu, setiap kelompok etnik akan mendapat tempuh yang sama untuk memerintah negeri. Penyusunan ini juga melemahkan kuasa kerajaan negeri yang dahulu sentiasa bertentang dengan kerajaan pusat di Kuala Lumpur. Sistem ini juga memberi kuasa yang lebih banyak kepada kaum Melayu yang merupakan kaum minoriti untuk memansuhkan undang-undang tempatan yang diperkenalkan oleh pihak Kadazan-Dusun yang merupakan kaum majoriti. Walaubagaimanapun, penyusunan ini telah ditamat semasa UMNO memegang jawatan itu dengan kuasa sekarang dipegang olehnya. Ini telah menimbulkan pertentangan pendapat dan oleh sebab itu, terdapatnya perasaan kecewa yang meluas dan pembangkangan yang tidak berkesan pada pilihan raya umum 2004.
Dewan Undangan Negeri sekarang didominasikan oleh Barisan Nasional dengan cuma satu kerusi pembangkang sahaja yang dipegang oleh calon bebas. Keputusan daripada pilihan raya 2004 ini disebabkan oleh perasaan secara umum yang mana kebanyakan pengundi enggan mengundi kerana kemenangan BN terjamin dan juga sebab mereka tidak percaya kepada parti-parti pembangkang, kebanyakannya tidak begitu aktif sebelum pilihan raya. Seterusnya, ramai pengundi yang mengundi calon bebas.
Serupa dengan politik Malaysia, politik Sabah merupakan politik yang mengikut dasar parti. Usaha baru-baru ini oleh PBS, sebuah parti komponen BN, untuk bekerjasama dengan seorang calon pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (seorang bekas ahli UMNO yang menjadi calon bebas kerana tidak dilantik untuk pilihan raya oleh partinya) dalam percubaan dwipartisan yang tidak pernah berlaku dahulu telah dikritik dengan keras oleh UPKO, sebuah parti komponen BN yang lain.
Walaupun Sabah memasuki Persekutuan Malaysia sebagai sebuah negeri autonomi, tentangan kepada tekanan dari Kuala Lumpur untuk mewujudkan sebuah negara kesatuan Islam yang dikuasai oleh kaum Melayu telah menyebabkan pergeseran yang agak besar dan kekadangnya panggilan untuk pemisahan. Ketegangan ini juga ditambah oleh pemikiran jajahan Kuala Lumpur terhadap Sabah yang mana 95% daripada keuntungan daripada sumber semula jadi Sabah yang kaya diambil oleh kerajaan pusat dengan ketinggalan cuma 5% untuk kerajaan negeri. Selain daripada kawalan imigeresen yang pada nama sahaja berasingan, tiadanya bukti yang tinggal terhadap autonomi Sabah.
UMNO telah mencapai kuasa dengan pantas sejak kemasukannya ke Sabah pada tahun 1991. Sebelum ini, UMNO tidak mengambil bahagian dalam kedua-dua negeri di Malaysia Timur.

11 June 2009

SABAH...!!!




Asal-usul nama ‘Sabah’ diperolehi daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai ‘pisang saba’ iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH" oleh masyarakat kaum Suluk (Sulu)dan Bajau-Sulu, yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai 'jaba' oleh masyarakat Bajau di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun.
Menurut legenda dari masyarakat Bajau-Sulu, perkataan SABAH mula-mula digunakan oleh moyang Tun Datu Mustapha yang merupakan anak bongsu Sultan Sulu. Moyang beliau telah mengambil keputusan untuk menetap di Kinabatangan dan enggan kembali ke sulu apabila pertahanan dan tentera kerajaan sulu di Tawi-Tawi yang merupakan Pusat Pertahanan Terakhir Kerajaan Sulu telah mengalami kekalahan di tangan tentera Sepanyol yang ketika itu sedang berperang dengan kerajaan Sulu dan Kerajaan Brunei. Moyang beliau bersama-sama dengan pengikutnya yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan Suluk, Bajau dan Irranun telah mendarat di Kinabatangan. Sewaktu sampai di Kinabatangan mereka telah menjumpai pohon-pohon pisang yang tumbuh subur di kawasan Sungai Kinabatangan. Mereka tidak mengetahui nama sebenar dan jenis pokok pisang yang mempunyai buah yang bersegi-segi dan agak besar itu.Dalam bahasa mereka (Bajau-Suluk), buah pisang disebut sebagai Sabbah atau Sappah. Mereka seringkali menyebut dan menamakan tempat yang mula-mula mereka tempati itu sebagai Sabah dan nama itu terus digunakan dalam bahasa harian mereka sehingga ia digunakan untuk merujuk negeri yang ada pada masa sekarang.
Nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Sulu dan Kerajaan Brunei. Pendek kata, nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi.
Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara' secara rasmi pada tahun 1881. Ibu negeri Sabah yang pertama ialah Kudat ( 1881 ). Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 selepas negeri tersebut menyertai Malaysia.
Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Sudang'. Dalam catatan Marco Polo sewaktu beliau singgah di Boneo, Sabah (Brunei)ketika itu dikenali sebagai "BURNI" yang mungkin merujuk kepada Pulau Borneo.

16 May 2009

SEJARAH KOTA MARUDU..!!

Marudu berasal dari bahasa salah satu suku kaum di Sabah. Kata "MARUDU" berasal dari bahasa orang-orang BALANINI iaitu dari kata "MAIRUDU" atau "MAIULUDU"yang dalam bahasa Melayu membawa maksud " suatu kedudukan di situ-situ juga". Orang-orang Balanini yang mendiami perairan Teluk Marudu dan melakukan aktiviti menangkap ikan dan perdagangan laut di perairan Marudu sering kali belayar dari Limau-limauan Kudat menyusuri teluk Marudu hingga ke Kg telaga Pitas . Apabila mereka belayar balik ke seberang teluk di Limau-limauan mereka akan melalui jalan pintas atau menyeberangi Teluk Marudu dan bukan lagi menyusuri Teluk Marudu. Mereka yang berkomunikasi sesama orang laut apabila ditanya dari mana, mereka akan menjawab "Mairu du" atau "Mairu lu" atau dalam bahasa Melayu bererti "di situ juga" (merujuk kepada kedudukan geografi Teluk Marudu yang membentuk satu lingkungan teluk yang besar). Lama-kelamaan istilah Mairudu bertukar ke marudu dan mailudu menjadi Maludu. Justeru itu, penulis-penulis Barat sering kali merujuk Marudu sebagai Marudu, Marudo atau Maludu.
Nama Marudu atau Marudu mula dipetakan oleh seorang ahli pelayaran Belanda pada tahun 1595 yang belayar dari Brunei melalui Marudu menuju ke Palawan dan seterusnya ke Pulau Sulu. Sewaktu di perairan Marudu beliau telah menemui orang-orang Balanini atau Banaran atau digelar juga oleh orang Sepanyol sebagai "Camucones" yang menjadi askar laut kerajaan Brunei dan Sulu ketika itu. Orang-orang Balanini juga menamakan beberapa tempat di kawasan Teluk Marudu menggunakan bahasa mereka, antaranya ialah "Matunggong" (bererti di hujung pulau kecil dari kata Ma Tong Gong iaitu sebuah pulau kecil di muara sungai Matunggong di Teluk Marudu), Bak-Bak (bererti tempat berjumpa dari kata "Bak ", iaitu sekarang Pantai Bak-Bak di Kudat), Bulih Adjung (bererti buritan kapal jong dari dua kata iaitu Buli dan Adjung, sebuah tempat berhampiran sungai Tandek, Kota Marudu),Sampang mangayau (bererti menemui orang untuk beradu kekuatan, dari kata Sampang dan kata Mangayau ), "Pitas" dari kata "Pi Tas" (Pitas dalam bahasa Balanini bererti "suatu keadaan yang satu tapi akhirnya tercerai atau terpisah secara tidak sengaja"), Malubang dari kata "Ma Lobong" yang bererti "di tempat yang ada kuburan", Tombarungus (dari kata "Tong Ma Rungus" yang bererti "Tanjung hujung yang dipunyai oleh orang Rungus")dan banyak lagi nama-nama tempat di perairan Teluk Marudu berasal dari perkataan Balanini.
Kota Marudu asalnya bernama Bandau. Nama ini telah digunakan sejak sebelum Negeri Sabah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia, sehinggalah tahun 1974. Menurut legenda daerah ini, Bandau adalah terbitan daripada perkataan 'Mondou' daripada diaiek suku Momogun Rungus [Kadazandusun] yang bermaksud "ketua semua binatang buas" yang rupanya seakan-akan musang. Mondou dipercayai pada suatu masa dahulu di jumpai oleh Aki Rungsud kawasan di sepanjang Sungai Bandau.
Manakala nama Kota Marudu yang digunakan untuk menggantikan Bandau adalah sempena peninggalan sebuah kota/kubu yang terletak di Teluk Bandau. Kota atau kubu Marudu merupakan sebuah kota yang diperbuat daripada batu-batu, tanah dan kayu-kayu keras seperti belian dan nibung yang dibuat oleh Shariff Osman dan pengikut-pengikutnya untuk mempertahankan Kota Marudu daripada pencerobohan penjajah Kompeni British. Di kawasan kota ini terdapat beratus-ratus (mungkin ribuan)kuburan-kuburan para pejuang yang berjuang menentang penjajah British dan juga Makam Syariff Osman dan anaknya Syariff Merum. Makam syarif Osman dulunya mempunyai dua batu nisan yang jarak antara keduanya mencapai 20 kaki dan dipercayai memanjang setiap hari. Makam ini dulunya dijaga dan diletakkan kelambu kuning tetapi pada masa ini ia telahpun tidak diurus dan terbiar.
Istilah Syariff Osman adalah lanun sebenarnya adalah istilah yang diberikan oleh Penjajah British untuk memburuk-burukkan nama syariff Osman. Menurut D.s Ranjit Singh, dalam Buku COMMERATIVE HISTORY OF SABAH 1881 - 1981, m.s 96, Syariff Osman diisytiharkan sebagai lanun dan pemberontak oleh Raja Muda Hashim (Brunei) dan sekutunya British dan James Brooke kerana Syariff Osman menjadi ancaman kepada pertuanan Brunei di Sabah dan James Brooke di Sarawak serta pihak British. Syariff Osman telah secara terbuka mengisytiharkan sokongannya terhadap Pengiran Yusoff yang berperang dengan Raja Muda Hashim/British dan mengistiharkan bahawa beliau menentang penjajahan British dan mengisytiharkan kerajaan sendiri. Tindakan ini mengugat kekuasaan pihak Brunei,James Brooke dan British. Syariff Osman sebenarnya adalah pemerintah di Kawasan Kota Marudu yang diperuntukkan oleh Sultan Sulu.Isteri Syariff Osman adalah seorang Puteri Sulu dan anak saudara Sultan Sulu.Syariff Osman adalah seorang berketurunan syariff berdarah campuran Suluk/Bajau/Brunei bersepupu dengan Syariff Masyhor di Sarawak yang terlibat menentang penjajah British sehingga dibuang negeri ke Singapura.
Menurut bahasa Momogun Rungus pula,Kota Marudu berasal dari kata bahasa Momogun Rungus iaitu "Sindaat Mogkorudu" di mana kawasan Bandau selama hampir 100 tahun dalam kiraan kalendar Momogun Rungus telah ditinggalkan setelah perang melibatkan Sindaat [sihir] yang dilancarkan oleh Aki Sook, seorang Bobolizan Rovusan. Menurut legenda Momogun Rungus, Bandau telah dibuka oleh Aki Rungsud sebagai satu pusat perdagangan sistem barter pada zaman lampau dan pada zaman Aki Sook telah berlaku perebutan kekuasaan antara Momogun Rungus Pilapazan dan Momogun Rungus Kirangavan yang mengakibatkan perang Sindaat [Sihir]. Setelah Sindaat Mogkorudu dilancarkan pusat perdagangan barter Momogun Purba itu telah ditinggalkan dan dikosongkan selama hampir 100 tahun iaitu selepas melalui kalendar Upacara Mamasi Pomogunan dan Upacara Managas.
Syariff Osman memerintah Marudu atas perkenan Sultan Sulu.Walau bagaimanapun, akhirnya ia mendirikan independent chiefdom yang berkecuali dan disebutkan "many people came to settle under his jurisdiction as he could provide protection and security". R.S Singh " The Development of Native Administration in Sabah 1877-1946" dalam buku COMMERATIVE HISTORY OF SABAH 1881-1981, m.s. 96.Oleh itu, Syariff Osman sebenarnya adalah seorang Pemerintah Bebas, Pejuang, Pelindung Rakyat Marudu dan bukannya lanun.
Menurut S.St.John dalam bukunya 'Life in the Forests of the Far East', London, 1863, pp.394-6 disebutkan bahawa penduduk yang mendiami Shariff Osman,s Chiefdom (Marudu atau Maludu) dianggarkan lebih kurang 50,000 orang (tahun 1840-an) dan pekerjaan utama penduduknya ialah penternakan dan nelayan.
Syariff Osman terlibat dalam perang menentang penjajah Inggeris sekitar tahun 1840 an. Sehingga pada hari ini Bandau yang dikenali dahulu mengambil nama Sindaat Mogkorudu [Marudu] yang dilancarkan oleh Aki Sook yang berperanan sebagai pelupus dosa-dosa Momogun dalam upacara Agama Labus iaitu agama leluhur Momogun Rungus. Mogkorudu bermakna "meratap atas kematian". Legenda ini terus hidup dalam suku Momogun Rungus.
Manakala dalam Peta Penjajah Sepanyol abad ke-13 Marudu ditulis sebagai Maludu dan dipercayai adalah antara dokumen sejarah tertua yang mencatatkan nama Marudu.

07 May 2009

RUNGUS..!!!

Rungus merupakan salah satu dari suku kaum di Sabah dan juga merupakan salah satu penduduk asli kepulauan Borneo. Rungus biasanya dikenali sebagai Dayak Dusun, Dayak Laut,Momogun, Momogun Rungus, Momogun Laut, Dusun Laut atau Rungus. "Rungus" berasal dari perkataan Rungsud iaitu nenek moyang suku kaum Rungus yang berhijrah dari kawasan Nunuk Ragang ke pesisiran pantai di Semenanjung Kudat, Teluk Marudu, Pitas, Beluran dan Telupid.

Aki Rungsud merupakan seorang tokoh Momogun Laut yang membuka kawasan Kudat-Bandau pada zaman dahulu. Istilah penggunaan nama [Momogun] adalah merujuk kepada nama bangsa suku kaum Rungus sendiri. Menurut legenda Momogun Rungus, Aki Rungsud adalah tokoh yang membuka kawasan Bandau-Kudat sebagai kawasan perdagangan barter yang terbesar di rantau Semenanjung Berungus dan Teluk bandau Borneo pada zaman dahulu. Teluk Bandau merupakan sebuah pusat perdagangan Momogun Rungus Kuno. Barangan yang didagangkan di teluk Bandau ialah ubi kayu, pisang, jagung, labu, hasil-hasil hutan, kain tenunan Rungus dan sebagainya.

Pada hari ini,secara politiknya semua suku-suku Momogun di Sabah dihimpunkan dalam kategori Kaum Kadazandusun-Murut (KDM). Rungus merupakan salah satu sub kumpulan yang tergolong dalam kelompok kaum Kaum Kadazan-Dusun. Berdasarkan penelitian seni arkitektur dan bahasa suku kaum Momogun Rungus, ia dengan jelas menunjukkan bahawa masyarakat Momogun Rungus mempunyai kesamaan dengan sistem kebudayaan Dayak. Dayak adalah istilah khusus bagi penduduk Asli di Kepulauan Borneo.

Masyarakat Momogun Rungus berdagang dengan pihak luar seperti Sulu dan Brunei untuk mendapatkan barangan logam, barangan tembaga cina, tembikar cina, kain cina dan sebagainya. Momogun Rungus mempunyai adat berdagang sendiri yang mana para pedagang dari luar tidak dibenarkan menggali tanah lebih dari "Duvo Lzangod" iaitu dua kaki. Para pedagang luar tidak boleh sama sekali menebang hutan atau membuka sesebuah kawasan sama ada untuk penternakan atau pun membuka ladang. Ini kerana perbuatan ini melanggar hukum-hakam agama [Labus] (disebut Lzabvus) bangsa Momogun Rungus. Sistem kesukuan Momogun Rungus ini merupakan satu sistem yang berdaulat pada zaman itu. Hal ini kerana secara tradisinya Semenanjung Kudat dan Teluk Bandau telah berkurun lamanya dipertahankan oleh suku kaum Momogun Rungus.

Dengan meninjau nama-nama pesisir pantai di sekeliling Semenanjung Berungus ini, dapat dibuktikan bahawa ia mempunyai sejarah tersendiri bagaimana sesuatu perkampungan pesisir pantai itu mendapat nama. Nama-nama pesisir pantai sekitar Kudat seperti Andarason, Vingolzon, Torongkungan, Bvadarag, Andab, Sampang Mangazou, Golzom, Milzobong, Pantai dan lain-lain lagi adalah merujuk kepada sejarah-sejarah ketika zaman perang di mana komuniti Momogun Rungus mempertahankan perkampungan mereka pada ketika itu.

Momogun Rungus yang mendiami kawasan Kudat, Kota Marudu dan Pitas adalah terdiri daripada beberapa sub suku iaitu:
Rungus Kirangavan (termasuk BATUTAI, SAMPIR BIRAAN DAN KAWASAN TERINGAI)
Rungus Pilzapazan
Rungus Gandahon
Rungus Gonsomon
Rungus Nulzuw
Rungus Tupak atau Rungus Melobong

Momogun Rungus di luar daerah seperti yang disebutkan diatas adalah dikenali sebagai:
Rungus Piromitan
Rungus Tindal-Sondot