CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

28 November 2009

KRISMAS @ 25 Dis 2009

Krismas atau juga dikenali sebagai Hari Natal, adalah hari raya untuk penganut Kristian, disambut pada 25 Disember bagi memperingati keputeraan Jesus (Nabi Isa a.s.), pengasas agama Kristian. Menurut Kitab Injil Perjanjian Baru, Jesus dilahirkan oleh Siti Maryam di Baitulmaqdis. Penganut Kristian percaya bahawa kelahiran Jesus menepati ramalan Yahudi mengenai kelahiran seorang penyelamat dari susur galur Nabi Daud, yang akan menebus manusia dari dosa Nabi Adam.
Perayaan Krismas pada lazimnya dirayakan setiap 25 Disember. Namun beberapa gereja (Gereja Ortodoks, Gereja Koptik dan gereja-gereja Timur yang lain) dan negara (Mesir, Habsyah, Rusia dan sebagainya) menyambutnya pada 7 Januari disebabkan mereka mengikuti takwim yang berlainan (takwim Julius berbanding takwim Gregory).
Adat resam moden perayaan ini termasuk memberi hadiah, sambutan gereja, dan peragaan pelbagai hiasan, termasuk pokok Krismas, lampu hiasan, daun mistletoe, holi dan lakonan kelahiran Jesus. Santa Claus merupakan tokoh mitos terkenal yang dikaitkan dengan adat memberi hadiah sempena Krismas. Santa dipercayai merupakah hasil gabungan St. Nicholas dari Myra dan unsur-unsur Mitos Nordic dan Kristian, sementara penampilan modennya dipercayai timbul pada abad ke-19.
Krismas bukan sahaja disambut oleh seluruh penganut Kristian, bahkan juga oleh ramai orang bukan Kristian sebagai perayaan kebudayaan yang sekular. Oleh sebab pemberian hadiah dan beberapa aspek lain perayaan ini melibatkan peningkatan kegiatan ekonomi antara orang Kristian dan bukan Kristian, maka Krismas menjadi peristiwa utama bagi kebanyakan penggiat sektor peruncitan.
Kitab Perjanjian Baru tidak tercatat tarikh kelahiran Jesus. Sehinggalah abad ke-19, para penulis Kristian selalu berhujah bahawa 25 Disember merupakan tarikh sebenar kelahiran Jesus. Bagaimanapun, Isaac Newton mendakwa tarikh Krismas dipilih agar bersempena dengan solstis musim sejuk.Walaupun tarikh moden solstis itu jatuh pada 21 atau 22 Disember, namun orang Rom menandanya pada 25 Disember.Pada tahun 1889, Louis Duchesne berpendapat bahawa tarikh Krismas dihitung sebagai sembilan bulan selepas 25 Mac, iaitu tarikh tradisi Jesus mula dikandung Maria. Orang Kristian awal percaya bahawa Jesus disalib pada 25 Mac, tarikh ekuinoks musim bunga mengikut takwim Rom. Pendapat inkarnasi berlaku pada tarikh yang sama dengan hari kewafatan Jesus selaras dengan kepercayaan Yahudi bahawa seorang nabi mati apabila berusia kamiran. 9 bulan sebelum Krismas, disambut pula Pesta Khabar Malaikat Kepada Maria. Hermann Usener, pada tahun 1899, menyatakan bahawa tarikh hari Krismas diambil dari suatu pesta orang Rom, Sol Invictus. Beliau mengatakan, Gereja pada masa itu mengambil tindakan demikian supaya orang-orang pagan Rom pada masa itu akan menganut agama Kristian, tetapi pada masa yang sama dapat mengekalkan tradisi mereka. Dies Natalis Solis Invicti, "Kelahiran Sang Matahari," disambut pada 25 Disember. Gelaran pesta tersebut, Sol Invictus, menyebabkan dewa-dewa matahari disembah, yang mana ianya termasuklah Elah-Gabal, dewa matahari Syria; Sol, dewa maharaja Aurelia (AD 270–274); dan Mithras, dewa tentera dalam mitos Parsi. Maharaja Elagabalus (218–222) memperkenalkan pesta tersebut dan menjadi popular semasa pemerintahan Aurelia, yang menjadikan pesta tersebut sebagai cuti umum.

0 comments: