CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

05 January 2010

Isu Perkataan "Allah"..!! Kepentingan Politik Atau..???

Malaysia lwn The Herald
Malaysia lwn The Herald adalah satu pertelingkahan undang-undang melibatkan dua pihak di antara kerajaan Malaysia dan suratkhabar mingguan di Malaysia, The Herald. Kes ini melibatkan dakwaan penapisan haram selepas akhbar berkenaan kehilangan hak penerbitan kerana menggunakan nama Allah di dalam konteks Kristian yang berbeza.
Pada 31 Disember 2009,
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bagi pihak akhbar Herald , menyatakan bahawa walaupun Islam sebagai agama persekutuan negara ini, ianya tidak memberikan kuasa untuk melarang penggunaan perkataan Allah.Ini menimbulkan reaksi banyak pihak di Malaysia.
Penggunaan perkataan "Allah"
The Herald melalui ketua biskop Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam yang bertindak sebagai penerbit the Herald, adalah plaintif telah meminta Mahkamah Tinggi Malaysia untuk campur tangan di dalam kes ini yang melibatkan penggunaan perkataan "Allah" oleh suratkhabar berkenaan. Permohonan beliau telah difailkan pada 22 Disember 2007. Di dalam penyataan pendakwaan, Pakiam mencari bantuan pengisytiharan bahawa the Herald diberi hak untuk menggunakan perkataan "Allah" dan perkataan ini tidak ekslusif untuk Islam sahaja. Beliau juga mencari pengisytiharan bahawa arahan kementerian untuk menghentikan penggunaan perkataan "Allah" di dalam akhbar Herald adalah tidak sah dan batal. Salah satu sebab yang disebut-sebut mengenai larangan ini adalah bahawa kandungan berita berbahasa Melayu yang menggunakan "Allah" sebagai gelaran Tuhan dalam konteks bukan Islam dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam di Malaysia.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum meminta penerbitnya membuang seksyen Bahasa Malaysia atau permitnya tidak diperbaharui. Pada 2003, kitab Injil dalam bahasa Iban telah diharamkan kerana ia menterjemah perkataan "God" kepada "Allah Taala". Arahan itu ditarik balik selepas mendapat bantahan daripada masyarakat Kristian.
Surat tunjuk sebab oleh kerajaan Malaysia
Akhbar Herald menerima tiga surat amaran diikuti sepucuk surat tunjuk sebab yang dihantar kepada penerbitnya pada 16 Julai. Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri memaklumkan akhbar theSun bahawa surat amaran pertama bertarikh 10 Mac, surat kedua pada 16 mac dan surat ketiganya pada 1 Julai. Tambah pegawai itu lagi, akhbar Herald tidak mengeluarkan nombor pencetakannya dengan betul-betul serta menyiarkan rencana-rencana yang bercanggah dengan kebenaran permit penerbitannya. Akhbar Herald menghadapi tindakan penggantungan permitnya sekiranya masih berbuat demikian dan menerbitkan editorial mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh. Seorang pegawai dalam bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran dalam Kementerian Dalam Negeri Malaysia menjelaskan bahawa ini adalah kerana editorial mengenai pilihan raya kecil tersebut ialah sejenis topik yang tergolong dalam hal ehwal semasa dan politik. Che Din Yusof dari unit tersebut menjelaskan bahawa "peringatan" ini bukan surat tunjuk sebab semata-mata, sebaliknya dikeluarkan kerana akhbar berkenaan "bertumpu kepada isu-isu politik mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim."
Kerajaan Malaysia menuduh dan mengugut hendak mengambil tindakan tegas terhadap akhbar Kristian kerana melanggar undang-undang penerbitan dengan menyiarkan rencana yang dianggap berbaur politik dan menghina Islam. Teguran ini membayangkan ketidaktentuan kedudukan agama minoriti di negara Malaysia yang berbilang budaya di sebalik pertikaian antara agama yang semakin menjadi-jadi. Penganut agama Kristian, Buddha dan Hindu merungut bahawa hak-hak mereka dicabar oleh usaha kerajaan untuk memperkukuhkan status Islam sebagai agama rasmi negara.
Akhbar Herald yang turut menarik perhatian kerana dikatakan berulang-kali melanggar syarat-syarat permitnya, telah berusaha mempertahankan diri terang-terangan. Pihak Herald telah meyakinkan pihak Kementerian Dalam Negeri bahawa pihak berkuasa usah bimbang kerana akhbar minggunan tersebut disasarkan kepada penganut Katolik dan bukan masyarakat umum. Penyuntingnya, Paderi Lawrence Andrew, berkata bahawa akhbar Herald tidak pernah sesekali menjangkaui isu-isu keagamaan dalam bahan penerbitannya. Katanya, "Pihak editorial hanya menyeru orang ramai agar mendoakan pilihan raya kecil yang bebas dan adil. Apa salahnya kami sebagai penganut agama Kristian meminta sesama saudara agar sama-sama berdoa? Salahkah ia di sisi undang-undang?" Tambahnya, "Kami mengulas isu-isu, begitu juga dengan Paus. Biasalah bagi kami mendapat tafsiran beretika mengenai hal ehwal semasa dan politik. Saya tidak merasa bahawa kami menentang jenis kandungan yang telah kami pilih dengan apa juga cara sekalipun." "Dalam maklumbalas kami kepada sepucuk surat amaran terdahulu dari pihak yang sama… kami menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak mentakrifkan konsep agama dalam borang pemohonan untuk pembaharuan permit pencetakan, apalagi tiadanya juga takrifan agama yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan," begitulah yang ditulis oleh Paderi Lawrence Andrew, penyunting akhbar dalam editorial, "Jadi kami meminta mereka untuk menerangkan kesalahan kami. Kami menantikan jawapan mereka." Beliau mempertahankan rencana itu dengan alasan bahawa Islam atau mana-mana agama lain tidak terhina. "Rencana itu merupakan kupasan beretika mengenai dunia selepas
serangan menara-menara Pusat Dagangan Dunia pada 11 September."
Alasan yang dikemukakan
Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur merasakan mereka berhak menggunakan istilah itu kerana istilah itu termasuk dalam bahasa Melayu dan berasal dari bahasa Arab. Sebagai rakyat Malaysia, mereka berpendapat berhak menggunakannya.
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada KDN melarang The Herald menggunakan istilah Allah.
Istilah Allah bukan ekslusif kepada agama Islam sahaja.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara jelas tentang istilah Allah.
Dalam Perkara 3(1) ini, KDN tidak diberi kuasa untuk campur tangan . Oleh itu boleh dianggap sebagai sebagai 'ultra vires'.
Campur tangan KDN ditafsir sebagai melanggar kebebasan bersuara dan hak kebebasan beragama.
Pemohon berhak mendidik penganutnya dan apa yang sesuai untuk penganutnya.
Bantahan masyarakat Islam di Malaysia
Pihak berkuasa Islam di Malaysia tidak dapat menerima penggunaan istilah Allah dalam penerbitan majalah mingguan Kristian itu. Ia tidak pernah berlaku dan tidak lazim di Malaysia walaupun pernah berlaku di luar negara seperti di Indonesia, Mesir dan lain-lain.
Majlis agama Islam itu ialah:
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP)
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)
Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Dalam Islam Allah bermaksud tuhan yang Maha Esa, yang hanya layak disembah, tuhan yang tidak beranak dan memperanakkan. Nabi Isa itu adalah manusia, bukan tuhan. Dalam
Bible sendiri ada mencatatkan bahawa ada manusia yang dilahirkan tanpa bapa dan boleh bercakap semasa bayi. Konsep tritunggal tidak ada dalam Islam.
Pada 5 Mei 2008,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan Herald menggunakan istilah alternatif seperti Tuhan. Istilah yang pelbagai dapat memperkayakan bahasa Melayu. Contohnya ulama dan ustaz bagi orang Islam, rahib , paderi dan biskop bagi agama Kristian dan sami bagi Hindu. Di Malaysia ada masjid, surau gereja, kuil dan tokong.
Jesus juga patut ditukar kepada
Nabi Isa.
Pada 12 Februari 2008, kerajaan Malaysia mengeluarkan surat melarang The Herald menggunakan istilah Allah.
Kebimbangan pihak luar
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meluahkan kebimbangan akan kemungkinan penerbitan akhbar Herald digantung setelah menerbitkan editorial mengenai pilihan raya kecil di Permatang Pauh. Pengerusi Kumpulan Kerja Hak Awam dan Politik Suhakam (CPRWG), Datuk Dr Michael Yeoh Onn Kheng, berkata dalam kenyataan akhbar bahawa ini merupakan pencabulan kebebasan bersuara. Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur (CLS) turut menyeru kepada Kementerian Dalam Negeri agar menarik balik surat-surat amaran dan tunjuknya tanpa sebab do samping mengekalkan permit penerbitan Herald. Presiden CLS Mabel Sabastian berkata, laporan dalam akhbar Herald itu adalah selaras dengan ajaran Gereja Katolik atas nama kebajikan sosial dan politik. "Pada dasarnya, tafsiran-tafsiran mengenai takrifan hal-hal keagamaan wajar diserahkan kepada para pemimpin dan pengikut agama itu sendiri. Kementerian Dalam Negeri tidak berhak menentukan skop keagamaan Katolik (atau mana-mana agama lain). Dengan tujuan mengawal kandungan-kandungan The Herald, surat-surat amaran dan tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bertentangan dengan Perkara-Perkara 3(1), 10(1)(a) dan 11(3)(a) dalam Perlembagaan Persekutuan, yang masing-masing menyatakan kebebasan mengamalkan agama, kebebasan bersuara secara umum dan hak sesebuah kelompok agama menguruskan hal-ehwal sendirinya. Kekangan-kekangan sedemikian akan menghalang masyarakat Katolik dari memeperoleh maklumat dan pendidikan semasa mengenai agama mereka. Tindakan sebegini oleh pihak berkuasa adalah sama seperti pembatasan kebebasan beragama."
Cubaan The Herald mengubah keputusan
Pihak The Herald, bersama dengan ketua kawasan uskup Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam telah mengambil keputusan mengheret kerajaan ke mahkamah untuk membatalkan keputusan mengenai penggunaan nama Allah. Sementara itu, majlis-majlis agama Islam di Selangor, Terengganu, Melaka, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, dan Persatuan Cina Muslim Malaysia berhasrat untuk mencampur tangan dalam kes ini. Majlis Gurdwara Malaysia memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya ingin menghantar perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara agar memastikan isu ini tidak diperbesarkan menjadi perselisihan antara penganut Katolik dan Majlis Islam.
Pihak Herald diarah oleh kerajaan Malaysia untuk berhenti mencetak edisi bahasa Melayunya sehingga pihak mahkamah menyelesaikan masalah pengharaman penggunaan perkataan "Allah" terhadap akhbar berkenaan. Penyunting akhbar Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata langkah ini merupakan sebahagian sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Islam "konservatif" ketika memperbaharui lesen akhbarnya pada 30 Disember 2008. Pihak Herald meminta bantuan peguam untuk menyemak sama ada Kementerian Dalam Negeri berhak melarangnya dari mencetak edisi Bahasa Malaysianya. Gereja Katolik mengutuskan sepucuk surat untuk menggesa pihak kementerian untuk menarik balik arahannya terhadap larangan penggunaan Bahasa Malaysia ketika memperbaharui permit penerbitan The Herald, dengan memberi masa tujuh hari untuk kerajaan bermaklum balas, jika tidak pihaknya boleh menyaman kerajaan kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia pada 27 Februari 2008, penyunting akhbar Herald berkata bahawa larangan berkontroversi terhadap penggunaan nama "Allah" sebagai gelaran Tuhan untuk penganut bukan Islam masih berkuatkuasa. Memetik sepucuk surat bertarikh 16 Februari 2009, Paderi Lawrence menjelaskan bahawa pencetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan mana-mana dokumen dan bahan penerbitan berkenaan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah diharamkan melainkan pada muka hadapan dokumen atau bahan penerbitan berkenaan bertulis ungkapan ‘FOR CHRISTIANITY’ (Untuk Kristian) yang tertera sejelasnya dalam mukataip Arial tebal bersaiz 16.
Tidak lama kemudian, para pegawai kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa akhbar Herald boleh beredisi Bahasa Malaysia asalkan tidak memanggil Tuhan sebagai "Allah" yang hanya dimaksudkan untuk kegunaan umat Islam. Sungguhpun demikian, akhbar Herald memulihkan edisi Bahasa Malaysia dengan isu besar pada 18 Januari yang mengingkari larangan penggunaan nama "Allah" secara terang-terangan.
Pada 26 Februari 2009, pihak Herald mendapat keizinan untuk menggunakan perkataan 'Allah' pada nama akhbarnya, asalkan dinyatakan sejelas-jelasnya bahawa bahan bacaan ini adalah 'untuk Kristian sahaja'. Begitulah yang dinyatakan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri yang baru diwartakan dan ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 16 Februari. Bagaimanapun, pada 28 Feburari 2009, Kementerian Dalam Negeri membatalkan warta kerajaan yang membenarkan penggunaan nama "Allah" bersyarat itu dalam penerbitan agama Kristian. Keputusan kerajaan untuk mengharamkan penggunaan nama "Allah" dalam akhbar The Herald kekal berkuatkuasa sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.
Pihak Gereja Katolik Malaysia mengehendaki kerajaan menarik balik kenyataannya yang menafikan bahawa kerajaan melarang akhbar mingguannya daripada menerbitkan edisi bahasa kebangsaan, jika tidak kerajaan akan dihadapkan tindakan undang-undang. Kelihatannya, seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata bahawa pihaknya tidak pernah sesekali melarang akhbar Herald dari menggunakan Bahasa Malaysia. Justeru, Gereja Katolik mencetak edisi terbaru Herald yang tertera nama Allah, yang mana paderi Lawrence meluahkan niatnya untuk terus berbuat demikian sehingga terdengarnya keputusan mahkamah mengenai isu ini. Pada 24 April 2009, akhirnya Mahkamah Tinggi mengurniakan Gereja Katolik hak untuk mencabar larangan kerajaan terhadap haknya untuk menggunakan nama "Allah" di luar lingkungan Islam.
Perbicaraan di mahkamah
Pada 28 Oktober 2009, Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 10 November 2009 untuk menerima atau menolak pencelahan 8 pihak berkuasa agama Islam. Peguam S.Selvarajah mewakili gereja itu.Peguam mewakili pencelah ialah Abdul Rahim Sinwah .
Pada September 2009, Mahkamah Persekutuan dalam kes
Majlis Agama Islam Selangor lwn Bong Boon Chuen & 150 yang lain, bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan pencelahan dalam prosiding semakan kehakiman mengikut Perintah 15, Peraturan 6(2)(b) Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980.
Pada 3 Ogos 2009, Hakim Lau memutuskan bahawa 8 pihak iaitu
Majlis Agama Islam Perak, Majlis Agama Islam Terengganu, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Johor dan Majlis Agama Islam Melaka, dan Persatuan Cina Muslim Malaysia - mempunyai kepentingan daripada segi undang-undang dalam isu itu dan boleh mencelah.
Pada 7 Januari 2009 ,
Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kerajaan Malaysia melarang penerbit The Herald menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan "Herald-The Catholic Weekly". Sebaliknya Gereja berpendapat bahawa arahan kerajaan ini salah di sisi undang-undang dan bahawa perkataan "Allah" bukan hanya eksklusif untuk agama Islam sahaja.
Pada 16 Februari 2009 penerbit The Herald memfailkan permohonan baru bagi semakan kehakiman. Permohonan serupa pada 2008 dianggap sebagai akademik kerana permit penerbitan The Herald bagi 1 Januari hingga 31 Disember 2008 telah tamat tempoh.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa the Herald boleh boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya. Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan itu.
Reaksi dari keputusan mahkamah
Kerajaan Malaysia
Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN)
Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly. Notis rayuan tersebut difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya kira-kira pukul 4 petang.
Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan 6 Januari 2009 untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan majalah minggu Katholik, Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah. Hakim Datuk Lau Bee Lan akan mendengar permohonan itu pada kira-kira 2.30 petang.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pada 3 Januari 2009,Tan Sri
Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya bertenang dan yakin dengan tindakan kerajaan dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan mingguan Gereja Katholik yang kini mencetuskan kemarahan umat Islam.
Nik Aziz Nik Mat PAS
Pada 5 Januari 2010, laporan sebuah stesen TV yang memetik kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah', disangkal oleh pejabat menteri besar Kelantan itu.Sebenarnya, kata Mohd Saiba, mursyidul am PAS itu tidak setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, selaku penerbit, menggunakan kalimah tersebut dalam akhbar Herald-The Catholic Weekly. kalau dalam perbualan (orang Kristian guna kalimah Allah) tidak menjadi masalah, tetapi tidak boleh digunakan secara rasmi dalam akhbar, majalah atau buku," katanya lagi.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Pada 5 Januari 2010, PKPIM menerusi presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah melancarkan gerakan kempen kesedaran secara besar-besaran, GKK-PKPIM di setiap peringkat masyarakat, khususnya generasi pelajar dan mahasiswa, mengenai implikasi kes kalimah Allah terhadap Islam di Malaysia. Menerusi platform ini, katanya, PKPIM akan menggerakkan beberapa siri program kesedaran seperti forum dan wacana ilmiyah, diskusi umum, pengedaran risalah, penerbitan makalah dan poster kesedaran, serta munajat perdana. Dalam pada itu, PKPIM mendesak semua pemimpin Melayu Islam dalam semua parti politik - Umno, PAS dan PKR - duduk semeja bersepakat dan menyatakan pendirian bersama untuk mempertahankan Kalimah Allah.

1 comments:

hazel said...

hhmm..perkara kecil yang diperbesarkan. kepentingan politik atau...?