
Baru-baru ini penerbangan MAS ke Eropah telah dibatalkan atas sebab masalah letusan gunung berapi yang menjejaskan laluan udara. Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) terpaksa membatalkan penerbangan ke London, Amsterdam, Paris dan Frankfurt esok ekoran kesan debu ledakan gunung berapi Iceland. Pengurus Hubungan Media MAS, Su Wong berkata, bagaimanapun penerbangan ke Rom akan diteruskan seperti biasa kerana lapangan terbang di sana telah dibuka semula. Sehubungan itu, MAS memberi pilihan kepada penumpang ke mana-mana empat destinasi tersebut untuk mengubah haluan mereka ke Rom bagi membolehkan mereka tiba di Eropah. "Bagaimanapun ia tertakluk kepada kekosongan kerusi dalam penerbangan ke Rom tersebut. "Selain itu, perjalanan seterusnya dari Rom ke destinasi asal mereka akan ditanggung oleh penumpang itu sendiri,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Katanya, penumpang yang menghadapi masalah ekoran penerbangannya terjejas diberi tiga pilihan iaitu wang dikembalikan sepenuhnya, menukar tiket untuk penerbangan pada tarikh hadapan atau membuat tempahan untuk penerbangan sedia ada. "Semua pilihan itu boleh dibuat melalui kaunter tiket MAS atau di pejabat tempahan. "Penumpang transit juga boleh menuntut bahagian penerbangan yang tidak digunakan di pejabat jualan tiket MAS sebaik tiba di destinasi asal,'' tegas Wong. Katanya, penumpang juga boleh mengubah tarikh penerbangan sebelum Khamis ini dan jadual penerbangan itu boleh ditangguhkan sehingga 31 Mei depan. "Selain itu, tuntutan bagi bayaran balik juga harus dibuat sebelum Khamis ini,'' kata beliau. MAS juga meminta penumpang yang terjejas akibat gangguan penerbangan tersebut supaya lebih peka dengan mendapatkan maklumat terkini dari laman web www.malaysiaairlines.com atau menghubungi talian 1300-88-300.
0 comments:
Post a Comment